ADN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah (kiri) dan Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif membantu proses penjualan barangan ketika Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjung Sepat Sepang pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS sedia 11 lokasi jualan murah setiap hari mulai 15 Januari

KUALA LANGAT, 31 DIS: Jualan Ehsan Rakyat (JER) diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Pegawai kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi penganjuran selain susunan jadual jualan.

“Sepertimana dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, JER akan diteruskan mulai 15 Januari. Jika kebiasaan kita ke sembilan lokasi setiap hari, insya-Allah kali ini kita akan tambah dua lokasi.

“Jadi rakyat Selangor harus mengambil kesempatan mendapatkan pelbagai barangan segar termasuk produk keluaran PKPS,” kata Md Fazir Abdul Latif pada program jualan mega akhir tahun di Dataran Pantai Batu Laut hari ini.

Beliau menambah produk dan harga ditawar sama seperti program jualan yang diadakan sebelum ini selain penambahan produk roti.

Md Fazir turut memaklumkan PKPS merancang melantik ejen tertentu di setiap daerah untuk menjadi pengedar sah produk JER.

“Kita tahu sebelum ini ada penduduk yang sukar mengejar lori-lori PKPS yang mengadakan jualan di tempat mereka, jadi kita rancang lantik ejen tertentu,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, Amirudin berkata JER memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal bulan ini.

Jualan murah barangan asas fasa pertama yang melibatkan 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) turut mencatatkan nilai jualan melebihi RM16 juta.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.


Pengarang :