Antara mangsa tanah runtuh yang berjaya diselamatkan tiba di Balai Polis Hulu Yam Bharu selepas dibawa keluar daripada lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM arah misi selamatkan mangsa tanah runtuh secara rapi, sistematik

SHAH ALAM, 16 DIS: Perdana menteri mengarahkan semua jabatan kerajaan menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali secara rapi serta sistematik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya mendapat maklumat daripada menteri pembangunan kerajaan tempatan, menteri alam sekitar dan Dato’ Menteri Besar Selangor berkaitan misi tersebut.

“Saya juga dimaklumkan menteri terlibat akan turun ke lokasi pagi ini. Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja SAR.

“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengerah anggota dan aset bomba, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan ke lokasi tanah runtuh terbabit untuk membantu proses menyelamat.

Setakat ini, lapan mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

Bomba Selangor dalam kenyataan di Facebook menganggarkan runtuhan setinggi 30 meter dengan keluasan runtuhan sebesar tiga ekar.

 


Pengarang :