Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusul nama Datuk Johari Abdul untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM arah PBT pantau, tingkatkan aspek keselamatan kawasan peranginan

SHAH ALAM, 19 DIS: Perdana menteri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau lokasi peranginan yang beroperasi di kawasan masing-masing.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PBT juga diminta mempertingkatkan aspek keselamatan di tapak berkenaan.

“Jabatan Metereologi Malaysia memaklumkan mengenai Monsun Timur Laut 2022/2023 dan hujan berterusan dijangka berlaku di pantai timur semenanjung dan timur Sabah bermula 17 Disember,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membawa usul berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, pada awal pagi Jumaat.

Ahli Parlimen Tambun memaklumkan hampir 700 anggota daripada 16 agensi kerajaan dan negeri terlibat operasi mencari dan menyelamat sejak hari pertama kejadian hingga hari ini.

Antaranya pasukan bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan anjing unit pengesan (K9).

“Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember.

“Dewan ini amat terkesan dan sedih dengan kejadian melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara kita termasuk kanak-kanak dan warga asing.

“Sehingga kini, seramai 61 mangsa berjaya ditemui dan 24 mangsa dijumpai meninggal dunia di tempat kejadian manakala sembilan lagi masih tidak dijumpai,” katanya.

Pagi tadi persidangan Dewan Rakyat pagi bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati mangsa.


Pengarang :