Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Cadangan tubuh jawatankuasa khas diteliti selepas terima laporan

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

HULU SELANGOR, 16 DIS: Kerajaan akan meneliti laporan berhubung kejadian tanah runtuh di Batang Kali terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk menubuhkan jawatankuasa khas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya tidak mahu mendahului pasukan keselamatan tanpa membuat penelitian.

“Kita perlu menunggu laporan awal daripada Ketua Polis Negara dan bomba sebelum menubuhkan sebarang jawatankuasa.

“Saya tidak mahu mendahului laporan mereka, tunggu sekejap. Saya perlu perhatikan dan teliti laporan sebelum memgambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi tanah runtuh malam ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian.

Kira-kira jam 2.42 pagi tadi, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang kali.

Setakat 7 malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia manakala 12 lagi mangsa masih belum ditemukan.

Ketika ini kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan oleh pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).


Pengarang :