Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan semasa mengadakan pertemuan mahabbah dengan Ulama dan Asatizah di Seri Perdana pada 11 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM gesa penjawat awam tinggalkan amalan turut perintah tanpa semak peraturan

PETALING JAYA, 11 DIS: Kerajaan memerlukan perkhidmatan awam yang profesional, jujur, amanah dan cekap dalam membantu membuat serta melaksanakan dasar-dasarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinan beliau juga memerlukan perubahan demi mengembalikan semula kegemilangan ekonomi, kestabilan dan disiplin mantap yang pernah dicapai negara suatu ketika dahulu.

“Saya menggesa semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang masih berkhidmat membudayakan nilai-nilai murni bersih, cekap dan amanah.

“Kerajaan juga memerlukan anggota perkhidmatan awam yang dapat menukar pendekatan pengurusan agar selaras dengan budaya yang hendak diamalkan oleh kerajaan semasa iaitu akauntabiliti, ketelusan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Malam PTD di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar turut meminta penjawat awam menukar hala tuju dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta meninggalkan cara lama berpandukan amalan menurut perintah tanpa melihat kepada peraturan sepatutnya.

“Pada asasnya, ini selaras dengan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang. Dalam konteks yang sama, saya sedar betapa pentingnya persefahaman dan kerjasama yang baik di antara anggota perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata proses perubahan dimaksudkan memerlukan pengukuhan institusi sedia ada seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang mesti menjalankan program latihan dan kajian bagi memudahkan perjalanan proses diperlukan.

Majlis Makan Malam PTD: 100 Tahun Menabur Bakti diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan Malayan Civil Service yang kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Shafiq Abdullah dan Presiden Persatuan Alumni PTD Tan Sri Abdul Halim Ali.

– BERNAMA


Pengarang :