Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Uthman Ibn Affan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 23 Disember 2022. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM sertai ribuan jemaah solat hajat mohon dilindungi musibah banjir

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai ribuan jemaah Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak menunaikan solat hajat bagi memohon kesejahteraan rakyat dan negara serta perlindungan dari musibah banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyertai solat hajat yang diimamkan imam masjid berkenaan Ahmad Fakhruddin Tahir yang diadakan sejurus selepas solat Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Fakhruddin dalam khutbahnya menyentuh mengenai ujian dan dugaan yang boleh menimpa sesiapa sahaja dan mengingatkan Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya yang reda dalam menghadapi setiap ujian.

Khutbah bertajuk ‘Menyubur Keinsafan Di Sebalik Musibah’ itu juga menyentuh mengenai kepentingan mengamalkan sikap berwaspada dan kesiapsiagaan setiap masa di samping meletakkan kebergantungan kepada Allah pada setiap masa.

Jemaah juga diingatkan mengambil peluang berbakti dan bersama-sama menyumbang tenaga membantu mangsa banjir dengan membersihkan kediaman mangsa, premis-premis awam seperti sekolah, masjid dan surau.

Usai solat hajat, Perdana Menteri mengambil peluang untuk bertegur sapa serta bersalam-salaman dengan para jemaah sebelum bergerak pulang.

-BERNAMA


Pengarang :