Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 pada 31 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Perdana Menteri
AGENDA NASIONAL

PM tegaskan negara ini bukan tempat pemimpin gondol kekayaan

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kerajaan akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar dengan mengamalkan tadbir urus yang baik, bebas rasuah dengan memastikan Malaysia bukan tempat untuk pemimpinnya menggondol kekayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan kerajaan telah mendapat senarai pelabur dari negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, India serta beberapa negara sekitar Asia yang akan datang dan melihat sendiri perkembangan di Malaysia khususnya dari aspek ekonomi.

“Kita harap ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi lebih meyakinkan. Ini perlu kerana Malaysia adalah negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara.

“Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen tempatan malam ini.

Anwar turut mengingatkan agensi kerajaan supaya mengamalkan budaya kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran selain akan terus memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perbelanjaan mereka.

Selain itu, Perdana Menteri tidak mahu slogan ‘anjakan paradigma’ yang sering dilaung-laungkan tidak diterjemah dengan sebetulnya terutama dalam aspek pembangunan yang melibatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita akan dengan teruskan pembangunan tetapi jangan kita remehkan, jangan abai nasib dan kedudukan mereka di peringkat bawah, itu konsep pembangunan yang tertera dalam al-Quran, konsep pembangunan fizikal tidak boleh terlepas daripada nilai hidup, akhlak dan ketakwaan,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu perkauman sempit dan agama yang menghukum tanpa berlandaskan fakta, Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan akan memperhebat aktiviti imarah, pengajian dan latihan di masjid-masjid bagi anak muda.

Beliau juga mahu ada peningkatan kefahaman agama dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, bagi mengelakkan bibit-bibit Islamophobia yang tertanam sejak zaman penjajah, daripada mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran masyarakat.

-BERNAMA


Pengarang :