EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika sidang media khas kejadian tanah runtuh Batang Kali di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis akan tentukan pihak bertanggungjawab dalam insiden tanah runtuh Batang Kali

SHAH ALAM, 21 DIS: Pihak polis akan menentukan sama ada pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm perlu bertanggungjawab dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata siasatan tragedi itu sudah dimulakan dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.

“Saya serahkan kepada polis untuk tentukan siapa yang perlu bertanggungjawab. Setakat ini pemilik perkhemahan tersebut tidak memiliki lesen perniagaan.

“Mereka hanya ada pelan kebenaran merancang (PKM) bagi menjalankan aktiviti pertanian organik kerana tapak itu di atas tanah pertanian,” katanya pada sidang media hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kanan) menunjukkan peta kejadian tanah runtuh berlaku selepas Sidang Media Khas Kejadian Tanah Runtuh Batang Kali di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sze Han berkata pemilik tapak perkhemahan terbabit memperoleh PKM daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor pada 2019 dan tamat pada Jun hadapan.

“Aktiviti perkhemahan adalah dibawah sub lesen perniagaan. Setiap aktiviti yang mengenakan yuran atau bayaran perlu memiliki lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Pada 16 Disember, sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali di Batang Kali musnah dalam tragedi runtuhan tanah kira-kira jam 2.42 pagi.

Seramai 26 mangsa disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu, 61 orang selamat dan tujuh masih hilang.

Pasukan penyelamat giat mencari mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pengarang :