AGENDAJENAYAH

Polis rampas ganja lebih 46 kg, pasangan kekasih antara tiga individu ditahan

SHAH ALAM, 28 DIS: Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih serta merampas dadah jenis ganja bernilai RM115,342 seberat 46.137 kilogram (kg) dalam satu serbuan di Setia Alam, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sindiket tersebut dipercayai diketuai oleh suspek lelaki berusia 27 tahun manakala pasangan kekasih, masing-masing berusia 30-an pula bertindak sebagai penghantar.

Katanya ketiga-tiga suspek itu diberkas dalam satu serbuan semasa mereka sedang menunggu kedatangan pengedar di dalam sebuah kereta jenis Perodua Aruz di kawasan parkir sebuah pasar raya, sekitar pukul 6 petang.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menemui dua beg kanvas berisi 33 ketulan mampat dedaun kering yang berbalut seberat 31.099 kg dipercayai dadah jenis ganja di tempat duduk penumpang belakang dalam sebuah kereta jenama Isuzu, yang diparkirkan berhampiran dengan tempat mereka menunggu.

“Susulan daripada serbuan itu, pihak polis membawa ketiga-tiga suspek untuk memandu arah ke sebuah kediaman di Taman Aman Perdana, Klang dan menemui dua beg kanvas berisi 14 ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 15.038kg termasuk kad pengenalan milik salah seorang mangsa lelaki itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Iqbal memaklumkan ujian saringan awal polis terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kedua-dua suspek lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau pula mendapati ketua sindiket berkenaan mempunyai empat kes jenayah termasuk satu kes dadah.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira empat tahun di sekitar Lembah Klang dan disyaki mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki di negeri utara Malaysia dengan harga RM1,500 sekilogram.

“Ketiga-tiga suspek yang direman selama tujuh hari sehingga esok di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :