AGENDAJENAYAH

Polis tahan pengawal keselamatan wanita bakar al-Quran

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Polis menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

“Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :