Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berucap ketika program Rapat Mega KEADILAN Cabang Gombak di Pusat Khidmat Penyelaras Parlimen Gombak pada 16 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Politik usang PN dibidas, Shamsul gesa tumpu tangani cabaran ekonomi

SHAH ALAM, 19 DIS: Ketua setiausaha politik kepada perdana menteri membidas permainan “politik usang” yang dibawa ketua pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Datuk Seri Hamzah Zainuddin seharusnya memberi tumpuan membantu rakyat menghadapi kemungkinan krisis ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Adakah pertikaian yang dibangkitkan ini cubaan halus Perikatan Nasional (PN) mencabar kuasa mutlak institusi raja?” katanya dalam kenyataan selepas sidang pertama parlimen hari ini.

“Cukup-cukuplah bermain politik usang, ini masa untuk negara bergerak ke hadapan dan lebih baik kita merangkul segenap kekuatan memperkasakan rakyat mendepani cabaran krisis ekonomi tahun 2023 yang bakal menjelang tiba.”

Ketika membahas usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, Hamzah sengaja membangkitkan isu peribadi walau bertentangan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 23 (1)(i).

“Lebih memualkan naratif songsang yang dibawa oleh ketua pembangkang turut dilantuni oleh ahli-ahli parlimen PN tanpa menggunakan akal yang waras dan memainkan isu peribadi yang telah selesai apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kelima Belas Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018 berkenan mengampunkan Anwar dengan pengampunan diraja bermaksud segala rekod kesalahan (beliau) dihapuskan,” katanya.

Beliau mempertikai sikap Hamzah yang kelihatan begitu terdesak menyerang Anwar hingga sanggup memetik berita yang disifatkannya sengaja diterbitkan demi mencari publisiti murahan.


Pengarang :