Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh, Kelantan pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDANASIONAL

PPS penuh, dua keluarga pilih berteduh dalam kereta, lori

PASIR MAS, 20 DIS: Ketika individu lain memilih untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kediaman masing-masing mula dinaiki air, dua keluarga memilih untuk berteduh di dalam kereta dan lori.

Pekerja kedai perabot, Mohd Hafizi Iskandar, 30, berkata beliau bersama isteri dan anak lelaki berusia setahun berlindung di dalam kereta yang diletakkan di kawasan tinggi berhampiran rumahnya kerana PPS sudah penuh.

“Kami sekeluarga selesa berteduh di dalam kereta…lagipun tidur di sini (dalam kereta) kami lebih berasa lega kerana kami dapat memantau keadaan rumah yang hanya di depan mata,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau turut berharap ada pihak yang sudi menyalurkan bantuan barang keperluan asas termasuk susu dan lampin bayi kepada mangsa banjir yang memilih untuk tidak berpindah ke PPS.

Sementara itu, tukang jahit, Ruwaida Ramli, 37, berkata keluarganya telah dua hari ‘tinggal’ di dalam lori setelah rumah mereka ditenggelami air.

“Banjir kali ini memang tak sangka seteruk ini. Ada ahli keluarga tidur dalam lori dan kereta. Bukan kami tak mahu pergi ke PPS, tapi penuh (dan) sesak..yang ada pun jauh,” katanya.

Beliau berkata sumber rezekinya juga terjejas selepas lima mesin jahit yang digunakan untuk menjana pendapatan rosak.

-BERNAMA


Pengarang :