Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Prasekolah AnIS terima pertambahan murid OKU tahun depan

SHAH ALAM, 26 DIS: Bilangan kanak-kanak berkeperluan khas yang memasuki prasekolah khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bertambah kepada 40 orang pada sesi persekolahan Januari depan.

Ketua Jabatannya Daniel Al Rashid Haron berkata kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun itu dipilih mengikuti pembelajaran di pusat sokongan di Seksyen 7 di sini selepas lulus proses saringan.

“Setakat ini, seramai 14 kanak-kanak mengikuti proses pembelajaran di pusat berkenaan dan kemasukan baharu pada minggu kedua Januari nanti lebih ramai.

“Kanak-kanak yang mendaftar disaring sejak awal Disember setiap Jumaat. Proses saringan dibuat dengan menilai tahap perkembangan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan kanak-kanak berkenaan akan didedahkan dengan modul pembelajaran seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Tiada perubahan (modul pembelajaran), mereka belajar subjek asas seperti matematik dan bahasa. Paling penting kita mahu mereka boleh mengenal abjad dan angka selain tahu apa yang perlu dibuat serta mudah dengar arahan.

“Kita akan pastikan tahap perkembangan mereka sepanjang belajar di pusat berkenaan untuk tempoh setahun dua supaya selepas itu mereka boleh masuk sekolah biasa.

“Ada kanak-kanak peringkat usia itu tahap perkembangannya lewat seperti individu yang berumur dua dan tiga tahun. Jika keadaan ini berlaku, mereka akan dimasukkan semula ke pusat intervensi di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC),” katanya.

Sebelum ini, EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata sekolah tersebut dibangunkan bagi menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid yang berdepan masalah pembelajaran.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, inisiatif itu khusus untuk kanak-kanak autisme, sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kanak-kanak lewat perkembangan (GDD).


Pengarang :