Gerai pameran dan jualan usahawan asnaf di Atria Warisan Kompleks PKNS Shah Alam pada 23 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program bimbingan ekonomi bantu suri rumah jana pendapatan, keluar status asnaf

SHAH ALAM, 23 DIS: Seorang usahawan jahitan langsir berjaya keluar daripada status asnaf selepas menerima bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) iaitu anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Norizan Ahmad, 56, berkata beliau bersyukur apabila diiktiraf bebas asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak September lalu selepas hampir enam tahun dibawah Teras.

Pemilik Fivesya Curtain Nurizan Ahmad. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Segalanya bermula apabila suami meninggal dunia pada 2012. Sejak itu, saya terpaksa memulakan hidup baru bersama lima anak yang masih bersekolah.

“Saya bertuah kerana jiran-jiran bantu saya berdaftar dengan Zakat Selangor. Pihak zakat seterusnya memperkenalkan saya dengan Teras,” katanya kepada SelangorKini.

Norizan adalah antara 16 usahawan asnaf yang dihimpunkan dalam program Pameran dan Jualan Usahawan Jahitan 2022 di Kompleks PKNS di sini.

Sementara itu, Siti Rahmah Ajak, 45, berkata beliau mengambil keputusan menghubungi Teras selepas buntu apabila suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2019.

Pemilik Cty Rahmah Enterprise Siti Rahmah Ajak. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Siti Rahmah yang juga seorang suri rumah sepenuh masa sebelum ini berkata, Teras memberikan bantuan dan semangat untuk beliau bangkit menyara empat anaknya yang masih bersekolah.

“Saya tiada simpanan dan terpaksa bergelut untuk bangun semula. Suami pula tidak dapat bekerja dan hilang kaki kanannya akibat kemalangan tersebut.

“Saya pernah menyiapkan pesanan menjahit di hospital sambil menjaga suami. Syukur kerana sekarang hidup kami lebih senang,” kata usahawan telekung itu.

Pameran dan Jualan Usahawan Jahitan 2022 anjuran Teras menawarkan pelbagai produk jahitan menarik bermula hari ini sehingga Ahad.

Agensi tersebut bertanggungjawab membangun, mengurus, dan mengawal pembangunan usahawan asnaf di Selangor.

Gerai pameran dan jualan usahawan asnaf di Atria Warisan Kompleks PKNS Shah Alam pada 23 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :