EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (tengah) menyerahkan bekas peralatan membaiki kereta kepada M Batumalai,68, (kiri) dalam program I-Seed di Bukit Kemuning, Shah Alam pada 29 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program I-Seed: Dana RM1.3 juta bantu alat niaga, laksana bengkel usahawan

SHAH ALAM, 5 DIS: Sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan bagi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed), sehingga Oktober lalu.

EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi V Ganabatirau berkata peruntukan itu telah digunakan secara optimum, iaitu 100 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang disediakan.

“Peruntukan yang telah diluluskan untuk program I-Seed pada 2021 adalah berjumlah RM1.5 juta, manakala pada 2022 adalah sebanyak RM1.3 juta.

“Antara program yang telah dilaksanakan adalah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor, bengkel atau latihan secara teori dan praktikal, kemahiran dan komunikasi keusahawanan masyarakat India terutamanya penerima bantuan I-Seed,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee berhubung status I-Seed di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata semua program di bawah I-Seed dilaksanakan eksklusif untuk komuniti India sahaja.

“Ini kerana kita menyedari masyarakat India memerlukan pendedahan meluas terhadap program pemerkasaan bagi menghasilkan individu berkemahiran tinggi serta melahirkan usahawan baru,” katanya.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.


Pengarang :