Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Worldwide Holdings Berhad dan Dynac Sdn Bhd di DoubleTree by Hilton, i-City Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek bekalan kuasa di Cyberjaya selari agenda Selangor jadi negeri pintar 2025

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 10 DIS: Pembangunan projek bekalan kuasa dan inisiatif tenaga boleh baharu di Cyberjaya sejajar usaha Selangor menjadikan negeri pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga membantu Cyberjaya menjadi pusat pengkalan data sekali gus nadi kepada usaha pendigitalan negeri.

“Projek bekalan kuasa ini tujuan akhirnya bukan hanya menjana tenaga ke Cyberjaya (dalam masa singkat) tetapi melengkapi sehingga lima tahun (ke hadapan) yang akan memanfaatkan aliran tenaga stabil kepada pusat pangkalan data yang bakal diwujudkan.

“Dengan tenaga yang mencukupi sebanyak 60 megawatt akan membantu Cyberjaya sebagai salah satu daripada pusat data yang juga akan menjadi nadi kepada usaha kita ke arah pendigitalan selari cita-cita Selangor negeri pintar menjelang 2025,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah, belakang) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad Datin Paduka Norazlina Zakaria (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dynac Sdn Bhd Dato’ Md Jasman Bongkek (kanan) bagi pembangunan projek bekalan kuasa untuk Cyberjaya di DoubleTree by Hilton, i-City Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Worldwide Holdings Berhad dengan Dynac Sdn Bhd di DoubleTree by Hilton, i-City Shah Alam semalam.

Worldwide Holdings Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datin Paduka Norazlina Zakaria manakala Dynac Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Md Jasman Bongkek.

Pemeteraian MoU berkenaan bakal menyaksikan kerjasama pembangunan projek bekalan kuasa untuk Cyberjaya yang memberi tumpuan kepada bahan api bersih dan produk berteknologi hijau.

Melalui MoU itu pembangunan projek penjanaan tenaga berskala kecil dan inisiatif tenaga boleh baharu termasuk taman solar berskala besar untuk Cyberjaya dijangka dilaksanakan mulai pertengahan tahun depan.


Pengarang :