ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze meninjau lokasi banjir berhampiran pangsapuri USJ One Avenue pada 2021. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek kukuh tebing atasi bah di Subang Jaya mula tahun depan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 7 DIS: Pelaksanaan projek pengukuhan tebing anak Sungai Penaga di Subang Jaya membabitkan kos berjumlah RM2.3 juta dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya berkata projek berkenaan bakal memanfaatkan kira-kira 2,000 penghuni pangsapuri USJ One Avenue yang pernah terjejas banjir sebelum ini.

“Tindakan jangka pendek selesai diambil dengan membaiki kerosakan di dinding perimeter,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi.

“Penyelesaian jangka panjang iaitu pengukuhan tebing sungai dengan kepingan cerucuk dijangka dilaksanakan bermula pertengahan tahun depan.”

Beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan pengurusan pangsapuri berkenaan untuk mengadakan taklimat berhubung perkembangan itu pada Januari tahun depan.

“Selain USJ One Avenue, dua lagi kawasan yang sering terjejas banjir adalah Jalan Industri dan Lagoon Perdana. Kita harap dua kawasan ini juga dapat peruntukan untuk mengatasi banjir,” katanya.

Ruang bawah tanah USJ One Avenue mengalami banjir pada 2012, 2021 dan 2022 yang mengakibatkan ratusan kereta dan harta benda mengalami kerosakan.


Pengarang :