Suasana lengang di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih, Kulim bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen P017 Padang Serai ketika tinjauan pada 1 petang 7 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Pusat mengundi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman ditutup 6 petang

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup pada 6 petang ini.

Seramai 161,063 pengundi daftar pemilih berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

Daripada jumlah itu, 132,955 orang mengundi awal bagi Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang pengundi bagi DUN Tioman.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) peratusan keluar mengundi di Parlimen Padang Serai ialah 63 peratus sementara di DUN Tioman, 54 peratus setakat 4 petang.

Pengundian di Parlimen Padang Serai hari ini melibatkan 46 pusat mengundi dan 230 saluran sementara bagi DUN Tioman, 17 pusat mengundi dibuka melibatkan 52 saluran.

Sabtu lepas, pengundian awal telah berlangsung melibatkan 304 anggota polis di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan saingan melibatkan calon HARAPAN, Barisan Nasional (BN), PN dan Pejuang, namun pada 2 Disember lepas BN bersetuju memberi laluan kepada HARAPAN dan tidak bertanding.

DUN Tioman pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, HARAPAN, Pejuang dan seorang Bebas tetapi HARAPAN sudah menyatakan menarik diri daripada PRU berkenaan bagi tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

– BERNAMA


Pengarang :