Penceramah selebriti Azman Syah Alias, 41, hadir di Kompleks Mahkamah Klang hari ini, atas empat pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PU Azman didakwa lagi atas empat pertuduhan amang seksual

KLANG, 7 DIS: Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.

Azman Syah, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Azman Syah turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, di sini pada 16 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan Azman Syah diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Azman Syah didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, di sini pada 9.15 malam pada 10 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

Pendakwaan bagi kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Azman Syah diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

Kedua-dua mahkamah juga mengenakan syarat jaminan tambahan kepada tertuduh iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran rumahnya setiap awal bulan bermula bulan ini.

Sebutan semula bagi semua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Azman Syah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur di Mahkamah Sesyen di Seremban pada 12 Oktober lalu.

– BERNAMA


Pengarang :