EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian dan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid meninjau Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto MBSA
EXCOSELANGOR

Pusat kitar semula mampu kurangkan lima peratus jumlah keseluruhan sampah

SHAH ALAM, 8 DIS: Ratusan pusat kitar semula yang masih aktif di Selangor mampu mengurangkan lima peratus daripada jumlah keseluruhan sampah.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata walaupun kaedah kitar semula bukan suatu perkara baharu, namun memberi banyak faedah sekiranya diamal secara rutin.

“Di Selangor sahaja, kita mempunyai 250 pusat kitar semula masih aktif beroperasi yang terdiri daripada bangunan berstruktur kekal, kabin dan tong kitar semula termasuk di Shah Alam terdapat 16 buah.

“Dengan adanya pusat kitar semula ia dapat mengurangkan lima peratus jumlah keseluruhan sampah, menjimat kos pelupusan sampah, mengelak kejadian longgokan sampah dan mendidik masyarakat kepentingan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 dan Program Karnival 5R yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (tengah) melakukan gimik perasmian Pusat Kitar Semula Komuniti dan Karnival 5R sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan disaksikan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (dua, kiri) di Seksyen U13 Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto MBSA

Loy Sian berharap komuniti memainkan peranan dengan sentiasa mengamalkan kitar semula dengan menghantar barangan ke pusat kitar semula berhampiran kediaman mereka.

“Untuk menjayakan kitar semula memerlukan kerjasama semua termasuk masyarakat. Kerajaan Negeri membekalkan tempat dan infrastruktur tetapi menghantar barangan dan pengasingan melibatkan penduduk.

“Pusat kitar semula sedia ada memang tidak mencukupi dan kita sedang dalam usaha untuk memperbanyakkannya terutama di kawasan separuh bandar,” katanya lagi.


Pengarang :