Raihan kembali beraksi dalam konsert Garis Masa di Stadium Malawati Shah Alam pada 18 Februari 2023 sempena sambutan Israk Mikraj. Foto Instagram Raihannasheedofficial
PERSONALITIRENCANA

Raihan pernah dinobat Muslim paling berpengaruh, bukan Islam lonjak nama

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 16 DIS: Sejak penubuhannya pada 1996, kumpulan nasyid antarabangsa Raihan hanya mempunyai satu niat memperjuang mesej dakwah dan kasih sayang melalui lagu.

Walaupun tidak pernah mengharap pengiktirafan, Raihan yang kini dianggotai Abu Bakar Md Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim telah menjelajah ke enam benua.

Album sulung Puji Pujian yang diterbitkan pada 1996 terjual sehingga 3.5 juta unit di seluruh dunia. Rekod itu belum dipecahkan mana-mana artis Malaysia sehingga hari ini.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Puji Pujian memenangi album muzik terbaik Malaysia sepanjang masa dengan 66 kali platinum.

Paling membanggakan, Raihan pernah diundang mendiang Ratu Elizabeth II untuk membuat persembahan semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Edinburgh, Scotland pada 1997.

Sejak itu, kumpulan nasyid berkenaan menerima jemputan ke pelbagai negara seperti United Kingdom, Perancis, Australia dan lain-lain.

Ia menjadikan mereka antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia sepanjang enam tahun bermula pada 2008 hasil kajian Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

“Muslim di negara bukan Islam memiliki semangat persaudaraan yang kuat. Mereka akan berkomunikasi antara satu sama lain. Jadi nama Raihan dicadangkan dan disampaikan daripada mulut ke mulut.

“Kalau ada penganjur yang ingin menjemput Raihan, mereka kongsi maklumat. Kami tidak pernah mempunyai ejen di luar negara.

“Masih ingat lagi ketika Raihan dijemput oleh Ratu Elizabeth, mereka menganggap ia bukan kejayaan Raihan sahaja tapi kejayaan bersama kerana membuat orang bukan Islam menghormati agama melalui muzik,” kata Abu Bakar Md Yatim ketika ditemui Selangorkini selepas sidang media Konsert Garis Masa Raihan 25 Tahun.

Sepi di negara sendiri?

Raihan tidak berselindung mengakui jemputan serta sokongan yang diterima daripada orang bukan Islam di luar negara lebih meriah berbanding di negara sendiri.

Tidak bermaksud merungut, namun Raihan menganggap semua yang terjadi ada hikmah tersendiri.

“Sebenarnya, ramai yang sokong Raihan adalah orang bukan Islam. Contohnya yang mula-mula ambil kami jadi artis rakaman pun Tan Sri Tony Fernandes.

“Waktu itu dia bersama Warner Music. Kami nyanyi depan dia, lepas itu terus tanda tangan. Prosesnya begitu mudah. Selain itu David Teo, Metrowealth Pictures, ambil kami berlakon dalam filem Syukur 21.

“Penganjur yang mula-mula menawarkan Raihan membuat persembahan di luar negara iaitu di Scotland juga dalam kalangan bukan Islam. Jadi, yang sentuh hati mereka siapa? Allah juga,” jelas Abu Bakar.

Kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia pada 2000, Raihan teruja kembali beraksi dalam Konsert Garis Masa berskala besar di Stadium Malawati Shah Alam pada 18 Februari 2023 sempena sambutan Israk Mikraj.

Kumpulan Raihan pernah dinobatkan antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia sepanjang enam tahun bermula 2008. Foto Instagram Raihannasheedofficial

Menerima tajaan WNS Marketing & Events Sdn Bhd milik Jim Liew, Raihan bakal membawakan lagu-lagu terbaik mereka sepanjang 90 minit konsert.

“Sudah lama kami tidak adakan konsert berskala besar di Malaysia. Ramai bertanya memandangkan kami selalu membuat persembahan di luar negara.

“Jadi inilah masanya untuk anda menonton sendiri persembahan Raihan di Stadium Malawati. Peluang sebegini pun kami tak dapat selalu. Sukar sebenarnya untuk mendapat tajaan. Jadi, bila sudah ada rezeki, kita sama-sama jayakan.

“Peminat boleh datang bersama-sama keluarga. Kami membayangkan semua akan nyanyi bersama-sama dan diharap dapat mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak anda semua.

“Kami bawakan lagu seperti Puji Pujian, Senyum, Iman Mutiara dan 25 Rasul. Kita akan buat susunan muzik yang baru dalam konsert ini,” kata Abu Bakar.

Tiket konsert Garis Masa sudah mula dijual bermula harga RM95, RM110, RM170, RM200, RM250, RM300, RM350, RM450 dan RM500 di laman sesawang www.ticket2u.com.my.


Pengarang :