Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mendengar taklimat mengenai kejadian tanah runtuh di Fathers’ Organic Farm ketika melawat tapak lokasi kejadian serta meninjau operasi menyelamat mangsa pada 17 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda Selangor lawat lokasi tanah runtuh, tinjau operasi menyelamat

HULU SELANGOR, 17 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan meninjau lokasi kejadian tanah runtuh Fathers’ Organic Farm di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah kira-kira jam 10.20 pagi disambut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.

Baginda kemudian mendengar taklimat berhubung insiden dari Arjunaidi serta Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin.

Tinjauan kawasan operasi menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s organic Farm Batang kali pada 17 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tengku Amir Shah turut melihat misi mencari dan menyelamat secara siaran langsung menerusi rakaman dron pihak polis sebelum berangkat pulang pada jam 11 pagi.

Awal pagi semalam, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan berkenaan.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Ketika ini kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan oleh pasukan bomba, pasukan bomba sukarela, bomba swasta, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).


Pengarang :