EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kanan) menunjukkan peta kejadian tanah runtuh berlaku selepas Sidang Media Khas Kejadian Tanah Runtuh Batang Kali di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rangka garis panduan lepas selesai banci pengusaha aktiviti perkhemahan

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan Negeri akan adakan pertemuan dengan semua pemegang taruh aktiviti perkhemahan selepas melaksanakan bancian menyeluruh terhadap aktiviti rekreasi itu.

EXCO kerajaan tempatan berkata ia bagi merangka garis panduan yang diperakui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tourism Selangor supaya aktiviti perkhemahan dapat dijalankan dengan selamat.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze ketika sidang media khas kejadian tanah runtuh Batang Kali di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selama ini setiap perniagaan telahpun dikawal secara rapi melalui lesen perniagaan, kebenaran merancang dan pelan bangunan serta penguatkuasaan.

“Namun, PBT tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti perkhemahan kerana ia merupakan aktiviti sampingan yang dijalankan oleh pemilik,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor Mohd Hasry Nor Mohd.

Sze Han berkata ketika ini Kerajaan Negeri sedang mengemaskini dan melaksanakan bancian menyeluruh terhadap aktiviti tapak perkhemahan di Selangor sejak 2018.

Menurutnya, bancian itu juga akan membantu mengenalpasti lokasi aktiviti perkhemahan di kawasan sensitif dan berisiko.

“Setakat ini di Hulu Selangor terdapat 61 tapak perkhemahan dan semuanya didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. Malah ada yang dibina atas tanah milik kerajaan,” katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 19 Disember 2022. Foto Agensi Pengurusan Bencana Negara

Pada 16 Disember lalu, sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali di Batang Kali musnah dalam tragedi runtuhan tanah kira-kira jam 2.42 pagi.

Seramai 26 mangsa disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu, 61 orang selamat dan tujuh masih hilang.


Pengarang :