Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir jamuan kesyukuran rakyat Gombak di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan hadiri kenduri hargai jentera, pengundi Gombak

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 11 DIS: Ribuan penduduk Gombak menghadiri kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood bagi meraikan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pilihan raya umum Ke- 15 (PRU15), 19 November lalu.

Kenduri rakyat yang bermula 8 malam itu turut meraikan jentera dan petugas HARAPAN yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan Amirudin.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja keras membantu dirinya dan HARAPAN sejak Mac 2020 sehinggalah pada hari terakhir kempen PRU15.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai pada kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Terima kasih atas kerja keras semua jentera, petugas dan orang Gombak untuk mempertahankan bukan sahaja maruah saya, tetapi maruah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), HARAPAN, Gombak dan Selangor.

“Kemenangan ini datang dengan tanggungjawab. Saya akan lihat kembali apa yang saya sebutkan sebelum ini dan kita akan sama-sama bantu kerajaan perpaduan di Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut malam ini.

Menurut Amirudin beliau dan pasukannya akan bekerja dalam masa terdekat bagi membantu mengekalkan mandat yang telah diperolehi oleh HARAPAN dan kerajaan perpaduan.

“Kita kena mula bekerja seminggu dua ini sebab ada yang cuba sedaya upaya untuk merampas mandat yang telah kita peroleh untuk pecah belahkan kita,” katanya.

Ribuan penduduk Gombak menghadiri kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada PRU15, Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN menang dengan majoriti 12,729 undi mengalahkan penyandang tiga penggal, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan empat pencabar lain.

Mohamed Azmin yang mewakili Perikatan Nasional sebelum ini mengalihkan sokongannya hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :