Pemain kebangsaan meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Thuwunna pada 21 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

RTM siar perlawanan bola sepak Piala AFF mulai malam ini

SHAH ALAM, 27 DIS: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perlawanan bola sepak Piala AFF Mitsubishi Electric mulai malam ini hingga 16 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata siaran dapat diikuti hingga peringkat akhir itu dibuat melalui saluran TV2 dan Sukan RTM serta penstriman langsung aplikasi RTMKlik.

“Saya mengambil maklum bahawa ramai peminat bola sepak tanah air telah memohon agar perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 disiar di saluran RTM. Saya juga telah berbincang Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang turut mencadangkan perkara sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tayangan oleh RTM itu merupakan siaran tidak berbayar (free to air – FTA) dan tertakluk kepada syarat kontrak hak siaran eksklusif iaitu stesen penyiar hanya dibenarkan menyiarkan perlawanan 15 minit lewat daripada waktu sebenar perlawanan.

Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula 20 Disember lalu disertai 10 pasukan dari negara ASEAN dibahagi kepada dua kumpulan.

Kumpulan A mengandungi Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Brunei manakala Kumpulan B adalah Malaysia, Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.

Perlawanan malam ini melibatkan Malaysia dan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi serta Laos dan Singapura di Stadion Nasional KM16, Vietntiane.

Harimau Malaya dibimbing ketua jurulatih Kim Pan-gon memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ketika bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada 21 Disember seterusnya mengalahkan Laos 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.


Pengarang :