Masjid Al-Mujahideen, Damansara Utama menerima bantuan baik pulih melalui peruntukan Projek Selangor Penyayang. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
ADNSELANGOR

Salur peruntukan lebih RM40,000 untuk baik pulih masjid

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 14 DIS: Kariah Masjid Al-Mujahideen, Damansara Utama menarik nafas lega apabila rumah ibadat itu menerima bantuan baik pulih berjumlah RM40,660 baru-baru ini.

Projek baik pulih itu membabitkan penukaran bumbung poli hijau, mengecat rangka lama, membaiki saluran air hujan dan membina teduhan pada tempat mengambil wuduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata kos berkenaan adalah di bawah peruntukan Projek Selangor Penyayang.

“Bumbung dan kerangka lama boleh mengundang bahaya, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh sekarang. Sebelum ini, tempat berwuduk juga tiada teduhan (bumbung).

“Kita mengambil kira keperluan projek yang dapat membantu muslimin dan muslimat untuk beribadah dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata peruntukan membaik pulih rumah ibadah itu mempamerkan keprihatinan Kerajaan Negeri daripada pelbagai sudut termasuk aktiviti agama.

“Perkara ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri mengambil berat kebajikan rakyat secara keseluruhan kerana mengetahui apa yang diperlukan dan diinginkan oleh rakyat Selangor,” katanya.

Ahli majlis MBPJ John Leong turut hadir bagi meninjau kerja baik pulih yang dijalankan.


Pengarang :