Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat (tengah) menunjukkan penutup longkang yang siap dipasang di hadapan Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Rawang pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Salur RM50,000 baiki jalan, pasang penutup longkang sekolah agama di Rawang

SHAH ALAM, 20 DIS: Sebanyak RM50,000 dibelanjakan bagi membaik pulih kemudahan di Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Rawang melalui projek Selangor Penyayang.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata pembaikan itu membabitkan penurapan jalan dalam kawasan sekolah dan pemasangan penutup longkang hadapan sekolah.

“Jalan dalam kawasan sekolah sebelum ini rosak dan menjejaskan keselesaan serta keselamatan warga sekolah.

“Begitu juga longkang yang sebelum ini tiada penutup. Kita bimbang jika tidak dipasang akan mendatangkan perkara tidak diingini kerana di situ lokasi ibu bapa menghantar serta mengambil anak mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Keadaan jalan dalam kawasan Sekolah Rendah Agama (SRA) Ibnu Khaldun, Rawang yang siap diturap minggu lalu. Foto Facebook Chua Wei Kiat

Wei Kiat berkata kerja yang siap sepenuhnya minggu lalu sejak dimulakan akhir November memanfaatkan lebih 500 murid termasuk guru.

“Saya akan berusaha dengan lebih kuat demi memastikan keselesaan dan keselamatan untuk rakyat Rawang,” katanya.


Pengarang :