Teater Antara Tiga akan dipentaskan di Istana Budaya mulai malam esok sehingga Sabtu. Foto ticket2u.com.my
EXCOSELANGOR

Sejarah Klang ke pentas teater Istana Budaya mulai malam esok

SHAH ALAM, 7 DIS: Sejarah Klang sebagai antara kawasan pemula pentadbiran Selangor dipentaskan menerusi teater Antara Tiga di Istana Budaya mulai malam esok.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata pementasan tiga hari hingga Sabtu turut mengangkat kisah daerah itu yang dinobat sebagai Bandar Diraja selain menyentuh sosiobudaya dan ekonomi melibatkan pelbagai bangsa.

“Naskhah ini mengupas pengajaran penting di sebalik tiga sejarah utama yang berlaku di Klang hingga memberi kesan kepada budaya dan ekonomi negeri.

“Menariknya teater dibintangi penjawat awam sepenuhnya termasuk tenaga produksi iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Antara Seni Perkhidmatan Awam dan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan berkata karya hebat itu menyasarkan kehadiran penonton dalam kalangan penjawat awam dan pencinta teater, bahasa serta sejarah untuk menghayati sejarah Klang.

“Pementasan ini turut menggalakkan kakitangan awam menghargai usaha memperkasa ilmu bahasa dan sejarah menerusi medium seni,” katanya.

Individu berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM20 menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/event/29253.


Pengarang :