Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman bersama buku terbaru berjudul Strategi Rahsia China , Muhammad Ali Raja Dunia Wira Amerika , Sipena V dan Penyucian Kalbu Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 4 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sejarah Selangor antara tiga buku baharu terbitan IBDE

SHAH ALAM, 5 DIS: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan menerbitkan tiga naskhah terbaharu pada pertengahan bulan ini.

Pengurus jualan dan pemasarannya berkata buku itu ialah Apa Itu Tasawuf karya Martin Lings, Perang Dunia Kedua (AJ Taylor) dan Sejarah Selangor (JM Gullick).

“Buku yang paling menarik adalah Sejarah Selangor kerana ia diterbitkan atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan diusahakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Naskhah istimewa itu juga menceritakan asal usul tempat di Selangor dan menjadi rujukan ramai pihak. Ia adalah terjemahan daripada buku History of Selangor,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman.

Menurutnya, buku Apa Itu Tasawuf juga dijangka mendapat perhatian kerana penulisnya merupakan guru kepada ilmuwan terkenal negara, Syed Muhammad al Naquib Ali al-Attas.

Beliau berkata Martin Lings juga menghasilkan karya Muhammad yang diterbitkan pada 2020 dan menjadi naskhah paling laris dengan jualan melebihi 20,000 cetakan.

“IBDE akan terus menghasilkan buku-buku terjemahan terbaik khususnya untuk peminat karya berkualiti antarabangsa,” katanya.

Karya terbitan IBDE boleh ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga 11 Disember ini.


Pengarang :