Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Selangor antara enam negeri diarah siap siaga hadapi banjir kilat

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Pahang.

JPS menerusi kenyataan memaklumkan notis yang dikeluarkan pada 3.45 petang itu, dibuat berdasarkan maklumat ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS bahawa, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Di Pulau Pinang, kawasan berisiko terjejas ialah daerah Seberang Perai Selatan melibatkan Bandar Nibong Tebal, Mukim 1, Mukim 7, Mukim 11 dan kawasan sekitarnya, manakala di Negeri Sembilan membabitkan daerah Port Dickson iaitu di Pekan Lukut, Pekan Jemima, Si Rusa, Mukim Jimah dan kawasan sekitarnya.

Di Perak, sebanyak dua daerah dan kawasan sekitarnya dijangka terlibat iaitu daerah Larut Matang dan Selama (Bukit Gantang, Sungai Limau, Pengkalan Aor, Jebong dan Asam Kumbang) serta daerah Kerian (Bagan Serai, Gunung Semanggol, Beriah, Kuala Kurau dan Parit Buntar).

Di Selangor, empat daerah dan kawasan sekitarnya turut disenaraikan sebagai lokasi berisiko banjir kilat meliputi daerah Sepang (Mukim Sepang dan Dengkil), Klang (Pekan Pandamaran, Pekan Kapar dan Klang), Kuala Langat (Pekan Jenjarom, Kelanang dan Tanjong Duabelas) serta Petaling (Mukim Petaling, Pekan Serdang, Pekan Batu Tiga dan Bandar Shah Alam).

Sementara itu di Terengganu, sebanyak dua daerah terlibat iaitu Marang (Bukit Payung serta kawasan sekitarnya) dan Kuala Terengganu (Cenering, Batu Buruk, Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya), manakala di Pahang pula melibatkan daerah Kuantan (Bandar Kuantan, Pulau Manis, Kuala Kuantan, Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).

Kenyataan PRABN itu menyatakan notis kesiapsiagaan itu, dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :