EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) ketika Program Larian dan Pameran Jingga Selangor 2022 sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan pada 17 Disember 2022. Foto Wanita Berdaya Selangor
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor belanja RM500,000 anjur program tangani keganasan wanita

SHAH ALAM, 18 DIS: Peruntukan berjumlah RM500,000 digunakan tahun ini bagi menangani isu keganasan wanita, menurut EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu merangkumi program antaranya pemberian geran kepada rumah perlindungan dan pengoperasian Talian SELamat bagi aduan keganasan rumah tangga.

“Dana juga membabitkan program yang dianjur hari ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap penganiayaan wanita. Keganasan terhadap wanita boleh dicegah melalui kesedaran, pendidikan serta perubahan dasar.

“Pada Julai 2022, Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual diluluskan dan menjamin keselamatan dan perlindungan wanita. Bukan itu sahaja, dalam Pindaan Akta Kerja 1955 2022, majikan diwajibkan meletakkan notis ganggual seksual sebagai usaha pencegahan di tempat kerja,” katanya menerusi kenyataan.

Antara peserta yang menyertai Program Larian dan Pameran Jingga Selangor 2022 sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan pada 17 Disember 2022. Foto Wanita Berdaya Selangor

Terdahulu, beliau merasmikan Program Larian dan Pameran Jingga Selangor 2022 sebagai kempen mencegah gangguan seksual.

Program sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan dan Festival Warisan, Seni Budaya dan Pelancongan anjuran Majlis Perbandaran Klang melibatkan lebih 500 peserta.

Awal bulan ini, Kerajaan Selangor memperkenal inisiatif Geran Rumah Lindungan dengan dana berjumlah RM200,000 bagi melancarkan operasi pusat jagaan wanita.


Pengarang :