Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan APDCrew Circuit di litar APDCrew Circuit, Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Selangor bincang langkah tambahan tangani rebakan Covid-19 Selasa ini

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING, 31 DIS: Selangor akan membincangkan langkah tambahan bagi mengelak risiko penyebaran semula Covid-19 oleh pelancong China yang datang ke negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan itu akan diadakan dengan pengarah kesihatan, EXCO dan pihak terlibat Selasa ini.

“Saya akan panggil mereka untuk bincang apakah usaha tambahan yang boleh dilakukan kerana kita tidak mahu pendemik Covid-19 berulang.

“Mereka (pelancong China) yang masuk juga perlu daftar dengan Selangkah atau MySejahtera supaya kita boleh jejak keberadaan mereka sebab kumpulan ini agak berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan litar APDCrew dan perlumbaan Drift APDCrew Circuit di Serdang melibatkan 32 pelumba dari dalam dan luar negara hari ini.

Semalam, Amirudin berkata akan berbincang dengan menteri berkaitan untuk memperhalusi tatacara operasi piawai (SOP) kemasukan pelancong China bagi mengelak penularan Covid-19 di negeri ini memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan penularan wabak itu di Zhejiang berhampiran Shanghai yang bergelut dengan 1 juta kes baharu selain jumlah jangkitan dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai terutama petugas hadapan untuk mendapatkan vaksin dos penggalak bagi mendapat perlindungan optimum.


Pengarang :