Exco Kerajaan Negeri Hee Loy Sian bersama badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan bekas makanan ketika Kempen Pahlawan Bebas Plastik di Bazar Ramadan LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor cadang semak semula polisi beg plastik tahun depan

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan menyemak semula polisi penggunaan beg plastik mulai tahun depan, kata EXCO Alam Sekitar.

Hee Loy Sian berkata cadangan itu susulan tahap penggunaan beg plastik masih tinggi walaupun caj 20 sen dikenakan terhadap pengguna.

“Pada 2020, kutipan bayaran beg plastik adalah RM6.5 juta, pada 2021 kita dapat RM8.5 juta.

“Tahun ini sehingga Jun, kita sudah ada RM4.8 juta. Kita jangka ia mencecah sehingga RM9 juta menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang ingin mengetahui apakah penguatkuasaan polisi penggunaan barangan plastik diikuti.

Loy Sian turut mengakui Kerajaan Negeri berhadapan masalah penguatkuasaan penggunaan beg plastik dan polisterina terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, mulai tahun depan Kerajaan Negeri akan mengetatkan penguatkuasaan penggunaan barangan tersebut terhadap peniaga.

“Kita sudah bagi tiga tahun. Mulai tahun depan, kita akan teruskan penguatkuasaan dan mungkin akan tarik balik lesen jika mereka (peniaga) tidak patuh,” katanya.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009. Ia disusuli larangan penggunaan polistirena dan beg plastik pakai buang bermula 1 Januari 2017.


Pengarang :