Mangsa banjir melalui proses pendaftaran di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perpuskataan Awam Daerah Setiu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA .
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor hulur RM1 juta bantu mangsa bah di Kelantan, Terengganu

SHAH ALAM, 20 DIS: Kerajaan Negeri menghulur bantuan kewangan berjumlah RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang berdepan musibah banjir ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 sebagai tanda simpati terhadap nasib puluhan ribu mangsa yang terkesan akibat bencana itu.

“Selangor bersimpati dengan nasib menimpa rakyat di negeri yang dilanda musibah banjir. Setakat 8 pagi ini, angka Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan seramai 25,353 orang di Kelantan dan 37,021 di Terengganu menjadi mangsa.

“Bagi meringankan beban atas musibah yang melanda, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 berupa bantuan kewangan buat Kelantan dan Terengganu sejumlah RM500,000 setiap negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata pihaknya melalui Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE) juga sedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir.

Nadma menerusi Twitter memaklumkan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor meningkat kepada 63, 415 orang setakat jam 6 pagi tadi.

Agensi itu juga memaklumkan sebanyak 458 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lima negeri berkenaan dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.


Pengarang :