Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat ketika tinjauan pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor, KL, Putrajaya diramal ribut petir dan hujan hingga 9 malam

SHAH ALAM, 1 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 malam ini.

Agensi tersebut menerusi Twitter memaklumkan keadaan sama dijangka berlaku di seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Labuan.

Manakala Perak di Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Bentong, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Sarawak pula di Miri dan Limbang serta Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :