Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim ditemu bual media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sambut baik usaha perdana menteri bantu pesawah

Oleh SOFIA NASIR

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkongsi keuntungan dengan pesawah di negara ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya menyifatkan pengumuman itu sebagai antara penyelesaian jangka pendek terbaik bagi memulihkan industri pertanian padi yang semakin merudum.

“Di Selangor, pengeluaran padi menurun dengan ketara. Sebagai contoh di Sekinchan, sebelum ini kita dapat lapan tan per hektar, tetapi kini hanya 4.6 tan sahaja untuk satu musim.

“Sekarang ini ramai tidak mahu tanam padi kerana tidak beri untung. Saya lihat usaha perdana menteri ini bagus kerana dapat beri semangat semula pada mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASUD) di Taman Sri Muda semalam.

Izham berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa usaha bagi membantu pesawah meningkatkan hasil tanaman.

Menurutnya, antara usaha itu adalah bantuan pemberian empat jenis baja dengan kos hampir RM9 juta kepada semua pesawah di negeri ini membabitkan 17,000 hektar tanaman padi.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan berkata Bernas bersetuju memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai susulan tegurannya berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.


Pengarang :