Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia hampir RM700 juta depani situasi kecemasan

SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor mempunyai peruntukan kewangan yang cukup sekiranya negeri ini berdepan situasi kecemasan.

Dato’ Menteri Besar berkata Tabungan Warisan Negeri Selangor berjumlah hampir RM700 juta boleh digunakan bagi keutamaan tertentu.

“Tabung tersebut tidak boleh digunakan dengan suka-suka. Ia untuk tempoh jangka masa panjang jika Selangor berhadapan cabaran tertentu.

“Selain itu, kita juga mempunyai aset dan syer yang boleh dicairkan, selain wang tunai sedia ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Semenyih, Zakaria Hanafi di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri menggunakan perbelanjaan tambahan hampir RM180 juta ketika banjir besar tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak RM123 juta digunakan bagi perbelanjaan bantuan isi rumah manakala selebihnya bagi membaiki cerun dan tebing sungai yang terjejas akibat bencana itu.

November tahun lalu, seramai 633 orang terjejas selepas beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang ditenggelami air akibat hujan lebat selama beberapa hari.


Pengarang :