EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid meninjau Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto MBSA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor teliti laksana pengasingan sampah dari rumah

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Negeri akan membawa isu pelaksanaan pengasingan sampah dari rumah dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Jelas Hee Loy Sian, program itu agak rumit dan mencabar namun akan membantu daripada aspek kitar semula sekiranya berjaya.

“Untuk menjayakan program pengasingan sampah di rumah membabitkan kos yang agak tinggi kerana meningkatkan kos termasuk kutipan lori setiap minggu serta menyediakan tong mengikut jenis.

“Ia bukan perkara mudah tetapi akan dilaksana pada masa akan datang tetapi masyarakat perlu didedahkan tentang kesedaran masalah sampah dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 dan Program Karnival 5R. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Bermula 1 September 2015 kerajaan persekutuan mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah di bawah peraturan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Pengasingan boleh dikelaskan kepada beberapa bahagian sisa yang dibuang dari rumah antaranya kertas, plastik, tin logam, kaca, sisa fabrik, sisa elektrik, sisa kebun dan sisa berbahaya.


Pengarang :