Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Surat Kelulusan Hak Milik Individu Bandar Sungai Buaya pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Selepas 24 tahun menanti penduduk akhirnya dapat hak milik tanah

HULU SELANGOR, 4 DIS: Lebih 50 penduduk Bandar Sungai Buaya di sini, menerima hak milik tanah daripada Dato’ Menteri Besar sempena program Jelajah Selangor Penyayang hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bakal menyerahkan lagi tawaran borang 5A itu kepada lebih 3,000 penduduk secara berperingkat sehingga Mac depan.

“Sebelum ini kita serahkan kepada lebih 200 penduduk. Mereka sudah tunggu sejak 24 tahun lalu dan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu ini.

“Sehingga Mac nanti akan ada lagi beberapa serahan kepada penduduk kerana ia perlu mengikut proses ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Bandar Sungai Buaya pada asalnya adalah kawasan Felda yang dibatalkan pewartaan Akta Tanah (kawasan penempatan berkelompok) 1960 pada 1995.

Pembatalan itu selaras pemohonan daripada pemilik tanah bagi membolehkan kawasan terbabit dibangunkan namun pemaju yang dilantik gagal memajukan akibat kemelesetan ekonomi.


Pengarang :