Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di Putrajaya pada 5 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siasat dakwaan 13 juta data pengguna Maybank, Astro bocor

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di media sosial awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kebocoran data berkenaan adalah serius melibatkan jumlah maklumat yang banyak.

“Saya akan minta CSM, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu beliau mengongsikan satu hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Berdasarkan hantaran itu, pada 25 Disember 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

-BERNAMA


Pengarang :