Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali hampir siap, rakam keterangan 77 saksi

BANGI, 27 DIS: Siasatan polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata kini hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

“Sehingga kini polis telah merakam keterangan 77 orang saksi melibatkan mangsa cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan serta anggota pasukan penyelamat.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Seramai 66 pelatih yang merupakan penuntut UKM menerima sijil selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing pada majlis berkenaan.

Sementara itu Arjunaidi berkata pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

“Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan,” katanya.

Tragedi jam 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

– BERNAMA


Pengarang :