EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berucap ketika Majlis pembukaan Persidangan Pendigitalan PKS Selangor sempena Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor catat potensi rundingan RM1.45 bilion

SHAH ALAM, 6 DIS: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober lalu mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.

EXCO pelaburan berkata acara Ekspo Taman Perindustrian Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM1.2 bilion diikuti Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dengan RM171 juta.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, Ekspo Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor pula mencatat RM50 juta, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) (RM27 juta) serta Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi Selangor (RM8.3 juta).

“Keseluruhan nilai potensi ini lebih tinggi berbanding RM217.6 juta yang direkodkan pada SIBS 2021 kerana tahun lepas pintu sempadan negara baharu sahaja dibuka,” katanya.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata tujuh memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama dalam pelbagai sektor berjaya ditandatangani pada penganjuran kali ini.

Menurutnya, MoU paling besar dimeterai antara CSSM Asset Management Sdn Bhd dan Harum Minat Sdn Bhd bagi membangunkan International Integrated Logistics Services (IILS) di Sepang.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd (PGTSSB) turut menandatangani MoU beberapa projek bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar negeri ini,” katanya.

Tambahnya SIBS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menerima kunjungan seramai 44,342 pelawat membabitkan 75 peratus pengunjung perniagaan dan 25 peratus orang awam.

“Sebanyak 623 pempamer terlibat berbanding 345 pada tahun lepas manakala 906 reruai ditempatkan di ruang pameran seluas 20,096 kaki per segi,” katanya lagi.

Tahun lalu, RM217.6 juta potensi jualan yang direkodkan dianggap pencapaian membanggakan dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.


Pengarang :