Kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer(KM)) 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite menyebabkan pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada 24 Disember 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

Sisa pencemaran pati minyak wangi dikesan, jangka dialir dalam masa empat jam

SHAH ALAM, 31 DIS: Sisa pencemaran pati minyak wangi yang menyebabkan dua loji rawatan air (LRA) dihenti tugas pada minggu lalu dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir petang tadi.

Bagaimanapun, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya menjelaskan aliran yang tercemar dijangka dialir (flush) dalam tempoh tiga hingga ke empat jam.

“Dengan keadaan semasa cuaca dan aliran deras sungai, aliran tercemar dijangkakan ‘flush’ atau ‘dilute’ dalam tempoh tiga hingga ke empat jam,.

“Pemantauan rapi sedang dilakukan oleh LUAS dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit. Bacaan terkini sehingga jam 8.45 malam mencatatkan 1 TON,” kata kenyataan di Facebook malam ini.

Menurut LUAS, pencemaran dikesan sejurus hujan lebat petang tadi yang menyebabkan aliran sisa terserap di persekitaran kawasan tumpahan tempoh hari serta jajaran sungai di luar kawasan Selangor terlarut bersama air hujan seterusnya mengalir ke Sungai Semenyih.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) telah dimaklum untuk tindakan kawalan segera di lokasi manakala PLUS diminta menyedut sisa baki aliran di lokasi nahas.

Susulan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 7 malam dan senarai kawasan yang dijangka terjejas akan dimaklumkan kelak.

Orang ramai diminta mengikuti perkembangan insiden dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pada 24 Disember lalu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi akibat nahas lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Insiden itu menyebabkan 472 lokasi lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :