Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor selesai melakukan kerja penyedutan sisa tumpahan cecair pati minyak wangi yang tumpah dalam insiden kemalangan lori di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite pada jam 9.20 malam tadi. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Sisa tumpahan cecair sudah dibersihkan, bau masih dikesan

SHAH ALAM, 25 DIS: Kerja penyedutan sisa tumpahan cecair pati minyak wangi yang tumpah dalam insiden kemalangan lori di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite telah selesai sepenuhnya pada jam 9.20 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata kerja berkenaan dilakukan oleh kontraktor yang dilantik LUAS dan kerja pengalihan kontena terlibat juga telah selesai dilakukan oleh kontraktor lantikan Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Menurut LUAS, bau di lokasi pemantauan statik pihaknya 1.5 kilometer daripada muka sauk loji sehingga jam 1 pagi tadi masih dikesan sebanyak 2 ton.

“Manakala bau 1 ton masih dikesan di muka sauk loji Jenderam Hilir dan 4 ton di muka sauk LRA Bukit Tampoi.

“Selain peletakan 18 beg Activated Carbon (AC) yang ditambah oleh LUAS di lokasi pencemaran dan pertemuan Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu dengan peletakan 20 beg AC di lokasi Sungai Limau Manis bagi meningkatkan nyah bau,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor meletakkan beg Activated Carbon (AC) di lokasi pencemaran bagi meningkatkan nyah bau. Foto Facebook LUAS

LUAS berkata pemantauan rapi terus dilakukan di lokasi pencemaran iaitu aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih sehingga bacaan bau mencapai 0 ton sebanyak 3 kali berturut-turut untuk membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi semula.

Sementara itu Air Selangor masih lagi menjalankan ujian persampelan air secara berkala bagi mengukur bacaan pencemaran bau (ton) air sungai susulan daripada henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

“Pemantauan rapi dijalankan antara Air Selangor dan LUAS bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera,” katanya menerusi Facebook.

Untuk maklumat lanjut pengguna boleh merujuk https://hentitugas.airselangor.com/ berkaitan insiden gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sementara pagi semalam susulan insiden pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Susulan itu, 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :