Exco Perumahan Rodziah Ismail bergambar kenangan selepas majlis cabutan undi unit dan menandatangani perjanjian penyerahan hartanah kepada 26 bekas pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 di ruang legar di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Skuad bola sepak 1995 dapat Rumah Selangorku Idaman RM250,000

SHAH ALAM, 8 DIS: Penantian hampir tiga dekad 26 bekas pemain bola sepak Selangor untuk mendapat ganjaran kemenangan Piala Malaysia 1995 berakhir apabila menerima Rumah Selangorku Idaman.

Proses cabutan undi dan menandatangani perjanjian serahan hartanah bagi Pangsapuri Idaman Abadi, Batu 18, Kajang 2, Hulu Langat dibuat di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail yang turut menyasikan proses itu berkata negeri bersetuju menawarkan rumah jenis E bernilai RM250,000 seunit dengan serahan kunci dijangka awal tahun depan.

Jelasnya, rumah berkeluasan 1,022 kaki persegi itu sebagai ganti dan penyelesaian tuntutan skuad Selangor FA pada 30 Mac lalu, hasil perbincangan dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua kanan) ketika sesi menandatangani majlis cabutan undi unit dan perjanjian penyerahan hartanah kepada 26 bekas pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 di ruang legar di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri peka dan mendengar rintihan serta tuntutan skuad Selangor FA 1995 berhubung janji pimpinan terdahulu bagi penganugerahan sekeping tanah seluas seekar kepada setiap pemain.

“Saya membangkitkan isu ini agar dapat diselesaikan segera sebelum berbincang dengan LPHS pada 30 Mei bagi memaklumkan komitmen menyelesaikan penantian dijanjikan hampir 27 tahun,” katanya.

Rodziah berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju menanggung kos pemasangan kipas, lampu, penghawa dingin dan yuran penyelenggaraan selama dua tahun secara percuma.

“Keistimewaan ini akan memberikan kemudahan dalam urusan pemilikan dan penjualan pada masa akan datang kepada mereka,” katanya.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, pemain dan pegawai dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh mantan Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan mereka meminta Dato’ Seri Amirudin Shari mencari jalan penyelesaian.

 

 

 


Pengarang :