Ahli keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman mayat pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sokongan psikologi waris mangsa, sembilan kaunselor ditempatkan di hospital

SUNGAI BULOH, 17 DIS: Sembilan kaunselor Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, bagi memberi sokongan psikososial kepada waris mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kesemua kaunselor tersebut akan bertugas sehingga selesai.

“Kita akan ada tiga syif, dengan setiap syif akan terdapat tiga kaunselor bertugas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau petugas kaunselor KPM yang ditugaskan di Jabatan Forensik hospital berkenaan hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan waris mangsa, Fadhlina berkata ketika ini keluarga mangsa sedang melalui tempoh yang sukar dan perlu diberi ruang.

“Saya minta bagi ruang untuk mereka dapatkan sokongan psikososial serta sokongan daripada rakyat Malaysia, selain mendoakan proses (mencari dan menyelamat) yang berlaku hari ini dipermudahkan,” katanya.

Dalam insiden pada 2.42 pagi Jumaat itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan tersebut.

Setakat pukul 2 petang tadi, 10 orang dilaporkan masih hilang manakala 23 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa, dengan operasi mencari dan menyelamat hari kedua bermula 8 pagi ini selepas ditangguh tengah malam tadi susulan hujan lebat.

— BERNAMA

 


Pengarang :