Pasukan bomba membawa mayat yang ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 18 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sorotan bencana: Tragedi tanah runtuh, bah besar meruntun jiwa

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa termasuk kanak-kanak pada 16 Disember lepas sangat meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Lebih menyayat hati apabila mayat dipercayai seorang ibu dan anaknya ditemukan dalam keadaan berpelukan manakala mayat seorang lelaki dewasa berpelukan dengan seekor anjing yang telah mati di kawasan tapak perkhemahan itu.

Daripada 31 yang maut, 18 adalah individu dewasa manakala 13 kanak-kanak dengan paling muda berusia setahun.

Tragedi tanah runtuh itu yang ke-23 dilaporkan di seluruh negara tahun ini dan merupakan insiden terburuk bagi 2022 sekali gus mendapat perhatian segera daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada hari sama, Anwar selepas melawat kawasan tersebut mengumumkan bantuan permulaan segera sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban selain Bantuan Wang Ihsan RM1,000 akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah bagi mangsa yang tidak melibatkan kematian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

Tragedi pada 2.42 pagi yang melibatkan 92 mangsa dengan 61 orang berjaya diselamatkan daripada tanah dan lumpur dalam runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu turut mendapat perhatian dunia luar.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam perutusan kepada Anwar mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa selain turut berdukacita dengan kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa selain ramai cedera.

Kerajaan Republik Arab Mesir juga menzahirkan ucapan takziah kepada Malaysia atas kejadian itu.

Dalam satu kenyataan disampaikan kepada Bernama melalui Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, Kementerian Luar Mesir memaklumkan Kerajaan Republik Arab Mesir menzahirkan setulus-tulus ucapan takziah kepada Malaysia serta turut berduka atas tragedi tanah runtuh yang mengorbankan berpuluh-puluh mangsa dan mencederakan ramai orang.

Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus-lumus selama sembilan hari melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelesaikan misi SAR selepas berdepan dengan cabaran cuaca hujan dibawa Monsun Timur Laut.

Selain itu, tiga episod kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Mac, Julai dan November tahun ini turut meragut tujuh nyawa dalam tragedi berasingan di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor; Jalan Bukit Nenas di Kota Kinabalu, Sabah dan Blue Valley, Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang.

Tatkala operasi SAR di Batang Kali memasuki hari ketiga iaitu pada 18 Disember, negara terus berduka apabila Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor dilanda bah besar menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut membantu memindahkan pasangan warga emas yang mengalami masalah angin ahmar dengan menggunakan bot di Kampung Baroh Masin, Hulu Besut pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA

Setakat 23 Disember lepas, sebanyak enam nyawa menjadi korban banjir iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Besut, Terengganu dan lima kes dilaporkan di Kelantan termasuk tragedi tiga beradik berusia 20 hingga 27 tahun maut apabila terkena renjatan elektrik di hadapan rumah mereka yang dinaiki air di Tumpat, Kelantan.

Menyingkap pembuka tirai awal tahun ini menyaksikan episod kejadian banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan tidak dijangka terutama di sekitar Lembah Klang dengan 8,583 mangsa direkodkan APM.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kol Sharudin Md Zain ketika dihubungi Bernama berkata daripada jumlah mangsa itu, APM menerima 63 laporan kejadian banjir kilat seluruh negara dengan menyaksikan Sabah mencatatkan laporan tertinggi iaitu 12 kes.

Menurutnya, ini diikuti Johor 11 kes, Kedah (10), Selangor (10), Melaka (lima), Sarawak (empat), Perak (empat), Negeri Sembilan (tiga), Kelantan (dua) dan masing-masing satu kes di Terengganu dan Perlis.

Seolah-olah bersambung dengan kejadian banjir besar yang melanda negara hujung 2021, pada 2 Januari lepas, Lahad Datu, Sabah menjadi titik pertama dilapor mengalami banjir kilat berserentak dengan bah besar di Semenanjung iaitu Kuala Langat, Selangor pada keesokan harinya.

Bermula dari situ, ia menjadi seakan ‘agenda bulanan’ negara baik di beberapa negeri lain mahupun di ibu kota apabila Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Mac merekodkan banjir kilat sehingga beberapa laluan utama terpaksa ditutup.

Sepanjang Jun pula, beberapa negeri dilapor terkesan secara signifikan dengan banjir kilat iaitu Kedah melibatkan beberapa kawasan di Mukim Gurun, Perak di ibu negerinya di Ipoh, Melaka di Melaka Tengah dan Selangor di Kuala Langat.

Episod duka negara memuncak apabila pada 4 Julai, bermula dengan hanya banjir kilat, ia mengganas lalu membentuk banjir aliran pusing hingga meragut tiga nyawa daripada keseluruhan 1,490 mangsa di Mukim Baling dan Kupang, Kedah dengan 25 kediaman turut dilaporkan musnah sepenuhnya. Seolah titik panas terbaharu, pada 28 Julai, Baling sekali lagi dilanda banjir kilat.

Selatan tanah air juga tidak ‘kering’ apabila Johor Bahru dan Skudai pula berdepan musibah sama masing-masing pada 2 dan 21 Ogos.

Tiga hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, beberapa kawasan di Taiping, Perak pula dilanda banjir kilat sebelum Baling yang berjarak 149 kilometer dari pekan itu sekali lagi berdepan situasi sama pada 6 September.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang meninjau keadaan sekitar susulan banjir di Kampung Ban RB, Sungai Sireh pada 23 November 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang

Sepanjang September dan Oktober, cuaca yang ‘muram’ juga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Johor Bahru, Melaka, Perak, Perlis dan Pulau Pinang yang turut menjejaskan lapangan terbang antarabangsa di negeri pulau mutiara itu.

Pada November, beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor kembali terkesan, termasuklah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang berdepan kejadian banjir kilat.

Menjengah di halaman-halaman terakhir 2022, pada 1 Disember, Batu Kikir dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan pula berdepan fenomena serupa, selain untuk kali ke-11 banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Iboi, Baling.

Secara keseluruhannya, negara terus merekodkan fenomena banjir kilat hampir di setiap negeri pada saban bulan sepanjang tahun ini dengan sesetengah kawasan terus berulang kali ditimpa siri musibah berkenaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :