Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Persekututuan bagi mendengar hujahan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Sorotan mahkamah: Kes Najib, Rosmah paling curi tumpuan tahun ini

Oleh N.Sevagamy

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tahun 2022 sekali lagi menyaksikan mahkamah menjadi tumpuan apabila melakar beberapa keputusan penting dalam kes rasuah, pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah serta bunuh yang membabitkan ahli politik dan tokoh atau orang kenamaan.

Bagaimanapun, paling mencuri perhatian ialah kes rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Keputusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi itu turut menyaksikan Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang terpaksa meringkuk dalam penjara bagi kesalahan jenayah.

Najib, 69, telah dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri itu semasa perbicaraan kes tidak pernah mempersoal wang sebanyak RM42 juta yang dideposit ke akaun bank peribadinya.

Seminggu selepas itu, isteri Najib pula mencuri tumpuan apabila Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 70, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Rosmah turut berdepan pertuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto BERNAMA

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 12 Mei tahun depan untuk perbicaraan.

Sementara itu, Najib berdepan empat kes penyelewengan wang sebanyak RM2.3 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menggunakan kedudukannya untuk meminda laporan audit 1MDB, pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 30 Januari tahun depan untuk memutuskan sama ada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintah membela diri.

Satu lagi kes berprofil tinggi yang meraih perhatian umum ialah kes Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 September melepas dan membebaskan beliau daripada 40 pertuduhan menerima rasuah di akhir kes pendakwaan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan apabila mereka gagal membuktikan elemen terpenting iaitu penerimaan wang rasuah dan saksi utama pula tidak boleh dipercayai.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pendakwaan memfailkan rayuan pada 26 September dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid masih dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau membela diri bagi semua pertuduhan dan setakat ini, pembelaan memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 6 Januari tahun depan.

Satu lagi kes berprofil tinggi yang menjadi tajuk utama akhbar ialah pembebasan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan projek jalan raya di Perak serta Kedah.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan pertuduhan terhadap Abdul Azeez kerana tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pendakwaan.

Begitu juga dengan pembebasan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib dan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pada 28 Oktober, Mahkamah Tinggi memutuskan pendakwaan gagal membuktikan RM9.5 juta yang diterima oleh peguam itu daripada Najib adalah hasil aktiviti haram dan keterangan saksi juga tidak menunjukkan terdapat aktiviti haram dan dari mana wang itu diperoleh.

Pada hari sama, Mahkamah Tinggi lain memerintahkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, penyelewengan aset dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua, kiri) bersama isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 17 Mei 2022, bagi sambung bicara kes tuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual. Foto BERNAMA

Turut menjadi tumpuan ialah kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, apabila pasangan itu diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk membela diri pada 3 Januari 2023.

Bung Moktar dan Zizie Izette kemudian memfailkan permohonan berasingan untuk menyemak keputusan itu namun ditolak selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal pendakwaan.

Pada 26 Mei, Mahkamah Sesyen telah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony selepas mendapati beliau bersalah memalsukan surat sokongan bagi kerja-kerja penyelenggaraan untuk Sistem Mekanikal dan Elektrik di Universiti Malaysia Sabah.

Peter mengemukakan rayuan dan Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan beliau bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya.

Di Ipoh, Perak pula, Mahkamah Tinggi pada 27 Julai telah menjatuhi hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas beliau didapati bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia pada 2019.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Yong untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Kes jenayah lain yang menjadi perhatian seluruh negara di media sosial membabitkan seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Pada 24 November, Mahkamah Sesyen memerintahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabaikan dan mendera remaja perempuan berusia 13 tahun itu dan menetapkan 5 Januari tahun depan untuk perbicaraan.

Mahkamah mendapati Bella mengalami kecederaan fizikal serta emosi ketika di bawah jagaan Siti Bainun dan pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh menganiaya serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada remaja itu.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 November 2022. Foto BERNAMA

Pada 21 Jun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjadi tumpuan apabila melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan empat tahun lepas.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata tiada bukti secara langsung yang menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan itu dan tiada kesinambungan antara masa kejadian dengan mereka serta bukti bahawa mereka adalah orang terakhir yang berada dengan Nazrin tidak boleh dikatakan sebagai membawa kepada kesalahan membunuh mangsa.

Pada 13 April, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita selepas mendapati beliau bersalah memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja yang sedang menunggang basikal lima tahun lepas.

Susulan itu, Sam Ke Ting memfailkan rayuan dan mahkamah menetapkan 31 Mac tahun depan untuk mendengar permohonannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara serta denda.

Selain itu, keputusan berhubung dalam kes sivil turut menjadi tajuk utama akhbar termasuk keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember yang memberikan ganti rugi RM5 juta kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu atas kematian wanita itu pada 2006 selepas membenarkan saman mereka terhadap bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan keempat-empat defendan secara bersama membayar pampasan itu kepada plaintif (Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga) sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.

Mahkamah memutuskan bahawa plaintif telah membuktikan bahawa defendan pertama dan kedua (Azilah Hadri dan Sirul Azhar) secara kejam membunuh mangsa dan ini adalah pembunuhan yang dirancang dengan Altantuya ditembak, bahan letupan diikat pada badannya sebelum diletupkan sehingga berkecai.

Mahkamah juga mendapati plaintif berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa defendan ketiga (Abdul Razak) mempunyai peranan dalam kematian mangsa dan jika bukan kerana beliau, defendan pertama dan kedua tidak akan membawa si mati masuk ke dalam kereta mereka dari kediaman defendan ketiga sebelum membunuh wanita itu.

Bapa mendiang Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan ahli keluarganya mendapat ganti rugi RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember 2022 berhubung kematian anaknya pada 2006. Foto BERNAMA

Kes lain ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober yang menolak saman RM100 juta oleh Sultanah of Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi yang didakwa memfitnah baginda dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside 1MDB Expose.’

Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan memutuskan bahawa tiada kenyataan berunsur fitnah dalam buku defendan dan memerintahkan agar kos RM80,000 dibayar kepada mereka.

Pada 25 November, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib terhadapnya atas dakwaan misfeasans dalam jawatan awam kerana mendakwa beliau dengan pertuduhan berkaitan 1MDB dan memutuskan bahawa tuntutan Najib adalah jelas tidak boleh dipertahan serta tiada kausa tindakan yang munasabah.

Dalam satu lagi kes, Mahkamah Tinggi pada 14 November menolak permohonan pendakwaan bagi melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh jam tangan mewah serta 29 beg tangan berjenama serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 milik Najib dan Rosmah yang dirampas dalam serbuan oleh polis pada Mei 2018.

Susulan itu, pada 30 November, Idrus mengesahkan bahawa AGC tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dan ini bermakna Najib serta Rosmah bebas menuntut kembali barangan berharga mereka.

Barangan terbabit, yang didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tahun 2022 turut menyaksikan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Keputusan majoriti dicapai oleh Kamaluddin dan Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan tidak bersetuju.

Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, pada 9 September 2021 berjaya dalam tuntutan mereka bagi mendapatkan kerakyataan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara di Mahkamah Tinggi.

-BERNAMA


Pengarang :