Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirurudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas kunjungan hormat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu pada 30 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sukarelawan Selangor sedia bantu negeri terjejas bah bila-bila masa

KUALA TERENGGANU, 30 DIS: Sukarelawan Selangor (SERVE) tidak dihantar untuk misi bantuan pascabah di Terengganu berikutan situasi di negeri itu terkawal, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya sedia membantu pada bila-bila masa, termasuk gelombang baharu banjir yang dijangka berlaku awal Januari depan.

“Kita sudah bermesyuarat dengan kerajaan tempatan di negeri ini dan mereka maklumkan tiada keperluan untuk pascabanjir kerana hampir keseluruhan kawasan sudah pulih serta dibersihkan.

“Berbeza di Kelantan, kita aturkan bantuan kerana ada keperluan di Rantau Panjang yang masih banjir. Kita siap sedia dan selaras dalam bentuk jentera mahupun sukarelawan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan RM500,000 kepada kerajaan Terengganu menerusi Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Seri Iman di sini hari ini.

Selasa lalu, Amirudin menyampaikan sumbangan sama kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai tanda kebersamaan dan simpati terhadap nasib yang menimpa penduduk negeri itu.

Pada 20 Disember, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Selangor menghulur sumbangan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Malah, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri juga sedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir melalui sukarelawan negeri.


Pengarang :