EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Khairuddin Othman pada Majlis Perasmian Kejohanan Piala Budak Kampung 2022 (Hulu Langat) di Arena Owl Trafford, Bangi pada 17 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sukarelawan Selangor tunggu kebenaran bantu cari mangsa tanah runtuh

KAJANG, 17 DIS: Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue menunggu kebenaran pihak berkuasa bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa yang belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini hanya anggota bomba dan penyelamat yang dibenarkan memasuki kawasan terbabit untuk meneruskan misi berkenaan.

“Kita sudah sediakan sukarelawan melalui Serve, cuma buat masa ini bomba tidak benarkan pasukan berkenaan masuk termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain berikutan lokasi itu sangat berbahaya dan masih ada pergerakan tanah ditambah pula dengan hujan.

“Jadi saya rasa di peringkat Serve, kita akan tunggu (kebenaran) daripada pihak bomba. NGO lain juga diminta untuk tidak masuk sebagaimana diarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kejohanan Piala Budak Kampung peringkat daerah Hulu Langat di Arena Owl Trafford, Bangi di sini hari ini.

Mohd Khairuddin juga menyatakan rasa simpati terhadap semua yang terbabit dalam insiden pada pagi semalam selain meminta keluarga mangsa bersabar.

“Runtuhan tanah ini saya kira ia bencana alam dan saya tidak mahu tuding jari kepada sesiapa tetapi kita bersimpati dengan seluruh individu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Operasi SAR diteruskan 8 pagi tadi dengan menumpukan dua daripada tiga sektor kawasan pencarian membabitkan sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).


Pengarang :